Thursday, 3 April 2014

MASALAH DALAM MEMBACA

Masalah dalam membaca bukanlah satu isu yang baharu tetapi masalah ini masih tidak mempunyai jalan penyelesaian. Jika masalah ini tidak dapat dibendung seluruh sistem pembelajaran murid akan lumpuh dalam membaca. Terdapat dua faktor utama yang menyebabkan masalah dalam membaca iaitu faktor dalaman dan faktor luaran.

A. Faktor Dalaman

Faktor dalaman ini melibatkan faktor fizikal dan faktor neurologikal. Faktor fizikal melibatkan kecacatan yang ringan terhadap deria dan tidak akan mendatangkan kesan negatif terhadap kebolehan membaca, tetapi kecacatan yang berat boleh menyebabkan tidak berkeupayaan membaca. Menurut Yahya Othman (2003), salah satu contoh kecacatan fizikal yang amat mempengaruhi keupayaan membaca ialah kecacatan penglihatan, masalah pendengaran, dan masalah pertuturan.

1. Faktor Fizikal


  • Masalah penglihatan

Masalah kecacatan penglihatan yang dihadapi berkemungkinan akan menyebabkan kesukaran untuk mencerap imej huruf yang dipaparkan dalam bentuk tulisan. ketidakupayaan membaca mungkin dipengaruhi oleh faktor seperti berikut, antaranya:


  • Juling - memfokuskan kedua-dua mata ke arah yang sama sehingga suatu benda kelihatan tidak sama saiz dan bentuknya.
  • Rabun - tidak dapat melihat pada jarak jauh untuk rabun dekat, manakala ketidakupayaan melihat jarak dekat untuk rabun jauh.
  • Amblyopiks - satu keadaan imej daripada salah satu biji mata tidak sampai ke otak.


Kebanyakan masalah tidak berkeupayaan membaca akibat daripada kecacatan penglihatan ini dapat diselesaikan dengan membetulkan aspek penglihatan kerana inilah kebanyakan punca tidak berkeupayaan membaca semula.


  • Masalah pendengaran (Auditori)


Masalah pendengaran yang teruk akan mengganggu proses belajar membaca. Walau bagaimanapun, pelajar yang mengalami masalah pendengaran yang ringan masih boleh dibantu dengan mempelajari teknik yang dapat meningkatkan perbendaharaan kata.

Masalah pendengaran juga menyebabkan berlakunya masalah untuk membezakan bunyi vokal dan konsonan.




2. Faktor Neurologikal.

Faktor neurologikal ini tergolong dalam faktor dalaman yang menyebabkan masalah dalam ketidakupayaan membaca. Bahagian neurologi boleh memberi kesan kepada kebolehan membaca. Kecederaan otak mungkin terjadi sejak lahir ataupun disebabkan oleh kecederaan penyakit serta kesan bahan toksik yang tercemar pada bahagian otak. Keadaan ini boleh menyebabkan wujudnya simptom Hyperlexia yang merujuk kepada masalah lambat perkembangan bahasa dan akal yang seterusnya menyebabkan masalah ketidakupayaan membaca dan pembelajaran yang serius.

Faktor neurologikal ini boleh dipecahkan kepada beberapa faktor iaitu keturunan, emosi, kerosakan otak, disleksia.



  • Faktor mental
Otak adalah pusat bagi mengawal segala aktiviti anggota seseorang terutama dalam pembelajaran. Seseorang menghadapi masalah 'minimal cerebal dsyfunction atau masalah kecelaruan otak yang minima terutama yang berkaitan dengan saraf otak boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan dalam pembelajaran khususnya keupayaan membaca. Punca masalah ketidakupayaan intelektual ini adalah sebab masalah jangkitan pra bersalin (pre-natal infection), disebabkan keturunan, kelahiran secara tidak normal (tidak cukup bulan), kecederaan otak kerana penyakit berjangkit, kecederaan oleh kemalangan, dan kekurangan zat makanan.
  • Faktor keturunan
Faktor keturunan sangat kuat dalam mempengaruhi kemampuan untuk belajar seperti kanak-kanak kembar. Kajian telah menhubungkaitkan pencapaian pelajar membaca dengan latar belakang keluarga yang menunjukkan pelajar yang berasal daripada keluarga yang tidak tahu memmbaca lebih lemah dalam pencapaian membaca berbanding pelajar yang berasal daripada keluarga yang tahu membaca. Hal ini demikian kerana persekitaran membaca dalam ahli keluarga juga akan mempengaruhi minat anak-anak untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.


  • Faktor emosi
Elemen gangguan emosi murid pula dikaitkan dengan ketidakseimbangan emosi atau emosi tidak terkawal. Emosi merupakan sesuatu perasaan jiwa yang kuat. Menurut Coleman (1997), menjelaskan bahawa terdapat lapan jenis emosi yang mengawal kehidupan manusia iaitu marah, sedih, takut, gembira, sayang, hairan, benci, dan malu. Masalah emosi ini boleh terjadi akibat daripada keperluan yang tidak dipenuhi, terlalu diberi perlindungan, tidak diterima di rumah, dan pernah mengalami kegagalan.
Masalah emosi pelajar boleh mengganggu proses pembacaan seterusnya pencapaian mereka dalam pembelajaran. Kegagalan memahami proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah akan menambah lagi kesan emosi dalam diri mereka sehingga menjadikan mereka kurang bermotivasi, malas, rendah diri, dan sebagainya.

  • Faktor sosioekonomi
Status sosioekonomi (SES) kerap menjadi salah satu pemboleh ubah dalam kajian yang berkaitan pencapaian pelajar dalam membaca. Kanak-kanak daripada SES rendah biasanya mempunyai pencapaian yang lebih rendah berbanding kanak-kanak daripada SES tinggi. Selain itu, keturunan kaum dan perbezaan budaya juga boleh mempengaruhi pencapaian pelajar dalam membaca.


Tuntasnya, masalah tidak berkeupayaan membaca merupakan masalah utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Sukatan pelajaran yang dirancang dan dibina perlu disesuaikan dengan aras murid dengan mengambil kira tahap kecerdasan murid dan keupayaan mereka untuk menguasai kemahiran literasi secara bersepadu.


No comments:

Post a Comment