Friday, 7 March 2014

DEFINISI MEMBACA

Apakah itu membaca?

 Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010, "baca" didefinisikan sebagai melihat isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan cara meneliti dan memahami makna dan tujuan isi tersebut. Mahzan Arshad (2008:158) pula mendefinisikan membaca sebagai suatu proses yang dilakukan oleh para pembaca bagi membentuk atau memberikan makna terhadap teks yang dibacanya sebelum bertindak membuat sesuatu keputusan.



 Berikut merupakan beberapa definisi membaca mengikut pandangan para tokoh.

  • Safiah (1985), membaca adalah proses memahami dan membina pemahaman kerana jika tidak memahami apa yang dibaca bermakna kita tidak membaca.
  • Zulkifley Hamid (1994), menerangkan bahawa membaca merupakan suatu proses pembaca mengenal lambang-lambang tulisan, menterjemahkannya kepada bentuk bunyi yang dilambangkan dan mendapat makna bagi membentuk tulisan tersebut.
  • Robert Lado (1964), menyatakan bahawa membaca sebagai ungkapan pola-pola bahasa daripada bentuk tulisannya.
  • Anderson & Pearson (1984), mentakrifkan membaca sebagai suatu proses pembentukan dan pemberian makna menerusi interaksi antara pembaca dengan bahan yang dibaca ataupun proses membina  jambatan antara bahan yang dibaca dengan pengalaman latar si pembaca. Kedua-dua aktiviti ini iaitu membaca dan memberi makna adalah proses yang konstuktif dan saling membantu antara satu sama lain.


 Kemahiran membaca merupakan salah satu daripada empat kemahiran bahasa yang amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kemahiran bahasa ialah lanjutan daripada kemahiran-kemahiran asas seperti mendengar dan bertutur. Melalui pembacaan, seseorang itu dapat mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan yang ada di dunia. Membaca juga sebenarnya merupakan kunci utama yang dapat membantu kita untuk meluaskan ilmu, pemikiran dan idea serta meningkatkan daya kreatif seseorang individu tersebut dalam pelbagai bidang.

Proses Membaca

 Membaca juga melibatkan proses mekanikal. Hal ini demikian kerana, semasa membaca kita akan dapat membunyikan huruf-huruf yang dicetak dan menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengan tajuk yang dibaca. Apabila ada hubung kait antara membaca dan menjawab soalan, secara automatiknya dapat dikatakan bahawa membaca melibatkan proses pemikiran konstruktif. Membaca merupakan salah satu sumber pengetahuan dan asas pembentukan diri ke arah pemerolehan ilmu pengetahuan.


 Pemahaman makna yang diperolehi oleh pembaca dalam proses membaca adalah berlangsung daripada pengetahuan latar. Pengetahuan latar yang dimiliki oleh pembaca akan digerakkan oleh perkataan, ayat dan paragraf penulis dalam bahan yang dibacanya. Walaupun pembaca tidak perlu memahami setiap perkataan yang terkandung pada setiap ayat yang dibaca, tetapi pembaca perlu bijak menggunakan petanda yang terdapat dalam bahan bacaan tersebut sebagai panduan bagi memahami maksud keseluruhan bahan yang dibaca. Proses ini disebut sebagai proses menaakulkan atau meneka maksud berdasarkan petanda yang terdapat dalam bahan yang dibaca. Menaakul bermaksud membuat tekaan berasaskan sesuatu petanda yang dijadikan sebagai panduan dalam proses meneka tersebut.

 Seterusnya ialah proses interaksi atau peredaran maklumat antara pembaca dengan teks adalah asas bagi memahami bahan bacaan. Dalam proses memahami, pembaca akan menghubungkan antara maklumat yang baharu dimuatkan oleh penulis dalam teks dengan maklumat lama yang terkandung dalam mindanya dan inilah dikatakan sebagai "membina jambatan" antara maklumat baharu dengan maklumat lama.



 Menurut Rumelhart (1980), maklumat yang terkandung dalam minda seseorang dikenali sebagai skema atau pengetahuan latar. Setiap individu mempunyai skema yang tersendiri mengenai sesuatu objek atau konsep. Menurut Anderson, Hiebert, Scott dan Wilkinson (1985), membaca juga dilihat sebagai satu proses memilih dan mengambil tindakan apabila pembaca menyesuaikan proses membaca dengan tujuan dan jenis teks yang dibacanya.

 Proses menentukan apakah tujuan dan tindakan yang akan diambil ini berlaku secara serentak dengan proses membina makna daripada bahan yang dibaca. Hal yang demikian kerana, aspek ini juga membawa maksud dalam mengatur strategi memahami pembaca akan mengawal pemikirannya atau melakukan metakognitif ketika membaca. Pengawalan pemikiran ini amat penting bagi memberikan manfaat yang sepenuhnya ketika membaca. Kawalan pemikiran yang baik akan menambahkan makna yang diperolehi daripada teks sekali gus menambahkan lagi skema dalam pemikiran pembaca.


 Secara konklusinya, membaca merupakan satu proses memahami makna isi teks yang dibaca oleh para pembbaca dan kemudian mencampurkan segala pengetahuan sedia ada dengan pengetahuan yang baru diperolehinya. Jika seseorang tidak faham apa yang dibacanya bermakna dia tidak membaca. Hal ini demikian kerana, tiada maklumat baharu yang diperolehinya.


3 comments:

  1. Tahniah diucapkan kerana telah membina blog cantik ini, semoga berguna bagi yang ingin mengenal subjek keterampilan membaca.

    ReplyDelete
  2. Boleh saya tahu rujukannya dari mana :)

    ReplyDelete