Wednesday, 26 March 2014

PEMILIHAN BAHAN BACAAN

Dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah, pemilihan bahan bacaan merupakan elemen yang perlu dititikberatkan oleh guru. Bahan bacaan yang sesuai perlu dipilih supaya sesuai dengan pelajar yang terdiri daripada latar belakang yang berbeza terutamanya dari segi intelek pelajar itu sendiri. Bahan bacaan yang tidak sesuai dengan tahap pelajar tidak wajar digunakan oleh guru untuk pembelajaran kerana akan menyebabkan wujud masalah dalam bacaan. Selain itu, kita sedia maklum bahawa pada masa kini ramai yang menghadapi masalah dalam membaca dan menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi terganggu. Kecerdasan intelek dan ketidaksesuaian bahan bacaan merupakan antara faktor yang menyebabkan permasalahan ini berlaku.

   Jadi, kebolehbacaan merupakan salah satu kaedah yang sesuai untuk memilih bahan bacaan yang sesuai untuk pelajar. Kebolehbacaan menitikberatkan pemilihan bahan yang akan digunakan guru untuk mengajar para pelajarnya. Menurut Dale dan Chall (1974), kebolehbacaan merupakan campuran interaksi antara perkara yang terkandung dalam bahan cetak yang memberi kesan kejayaan kepada pembaca. Kejayaan yang dicapai berpunca daripada keupayaan mereka memahami kandungan bahan yang dibaca, kebolehan membaca dengan pantas dan mendapati bahan tersebut sangat menarik.

   Di samping itu, Klare menyatakan 'kebolehbacaan' boleh digunakan dengan tiga pengertian iaitu:
a.  Untuk menunjukkan tulisan yang jelas dan muda dibaca sama ada tulisan tangan atau ditaip
b.  Untuk menunjukkan keselesaan membaca kerana menimbulkan minat
c.  Untuk menunjukkan keselesaan memahami gaya penulisan yang digunakan

   Secara keseluruhannya, kebolehan membaca dapat mengurangkan pelajar yang tidak dapat membaca dan sesuatu bahan berbeza bergantung kepada penerimaan pelajar itu sendiri.

Faktor Mempengaruhi Kebolehan Membaca:

Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi kebolehbacaan atau kebolehan membaca. Antara faktor tersebut ialah:

a.  Faktor diri pembaca
  • Kecerdasan mental pelajar dan kebolehan pelajar dalam membaca saling berkaitan kerana individu yang mempunyai kecerdasan mental yang tinggi cepat memahami teks yang dibaca berbanding pelajar yang memiliki kecerdasan mental yang lemah
  • Pelajar yang cerdas akan memberi perhatian sepenuhnya kepada bahan bacaan semasa proses membaca
  • Pelajar yang cerdas pastinya dapat mengingat setiap perkara kerana mereka dapat memahami teks yang dibaca dengan cepat


b.   Faktor tulisan yang jelas
  • Melibatkan aspek reka bentuk sesuatu tulisan
  • Faktor ini mengambil kira pelbagai aspek seperti jenis saiz tulisan, jenis fon, jarak antara fon, jarak antara baris, saiz muka surat, ketebalan cetakan tulisan, ketebalan kertas dan sebagainya
  • Jenis dan saiz fon yang berbeza diperlukan untuk kategori pembaca yang berbeza


c.   Faktor ilustrasi dan warna
  • Faktor ini membantu meningkatkan atau mengurangkan minat pembaca kepada sesuatu teks bergantung pada persembahan dan penggunaannya dalam bahan bacaan
  • Kajian menunjukkan kanak-kanak amat meminati bahan bacaan yang banyak mengandungi ilustrasi dan memudahkan mereka membaca bahan tersebut kerana adanya faktor minat
  • Andrews & Scharff (2002) menunjukkan bahawa pelajar prasekolah lebih meminati bahan bacaan bergambar yang terang dan realistik berbanding buku yang mengandungi gambar abstrak dan suram
  • Oleh itu, jenis ilustrasi yang digunakan dalam bahan bacaan memberi kesan kepada pembacanya
  • Penggunaan dakwat berwarna selain daripada warna hitam dapat menarik perhatian pembaca



d.   Faktor perbendaharaan kata
  • Struktur ayat kompleks akan menyebabkan pemahaman terhadap petikan menjadi sukar
  • Penggunaan perkataan penerangan yang berlebihan seperti perkataan lebih sukasedikit, dan beberapa menyebabkan kefahaman teks menurun 
  • Penggunaan perkataan kemungkinan seperti mungkinselalunyaboleh jadi dan kadang kala menyebabkan kekaburan dan ketidakjelasan teks yang dibaca
  • Kesukaran ayat boleh dikategorikan kepada lima iaitu kata kerja berbanding kata kerja pasif, proses pembentukan kata nama, kata kerja bantu, bilangan klausa dalam ayat dan pemahaman serta penggantian


e.   Faktor susunan teks
  • Faktor ini berkait rapat dengan cara sesuatu teks itu dipersembahkan
  • Susunan teks mengambil kira perkara-perkara seperti perenggan, tajuk-tajuk kecil, penggunaan perkataan yang digariskan, dicondongkan dan yang ditebalkan
  • Perkara ini digunakan untuk menjadikan sesebuah teks itu lebih mudah difahami


f.   Faktor psikologi
  • Psikologi merupakan kajian mengenai proses mental dan pemikiran pembaca
  • Minat dan motivasi pembaca mempunyai peranan yang besar dalam memupuk tabiat dan keupayaan membaca
  • Minat yang mendalam ke atas bahan bacaan memudahkan seseorang memahami teks tersebut semasa proses membaca berlaku
  • Guru dapat mendorong pelajar dalam pemupukan pembaca iaitu dengan menunjukkan kepentingan membaca dalam kehidupan, menggalakkan aktiviti bercerita dan memberikan ganjaran yang sesuai dalam pembelajaran

g.   Faktor komuniti
  • Komuniti yang berbeza memberi pengalaman yang berlainan dalam membentuk pengetahuan asas individu bagi membezakan tahap pembacaan
  • Pembaca perlu menggabungkan pengetahuan sedia ada dengan nilai yang ada dalam komuniti dari perspektif yang tersendiri
  • Sebagai contoh, komuniti yang berada di luar bandar berbeza dengan komuniti yang berada di bandar kerana pengalaman yang dilalui adalah berbeza
  • Lebih banyak pengalaman dalam komuniti dan penglibatan dalam aktiviti, semakin kaya pengetahuan latar pembaca

h.   Faktor sekolah
  • Persekitaran sekolah mempengaruhi kebolehbacaan pelajar
  • Sekolah yang menyediakan persekitaran sesuai untuk membaca akan menggalakkan pelajar untuk membaca dari segi psikologi supaya mereka gemar membaca
  • Peranan guru dalam mengendalikan bilik darjah sangat mempengaruhi minat membaca iaitu melalui pemilihan bahan, jenis soalan yang ditanya, jenis maklum balas yang diberi, suasana pembelajaran, dorongan dan pengukuhan yang digunakan

Tuesday, 18 March 2014

TEORI MEMBACA

Teori membaca adalah berkaitan dengan cara yang dilakukan oleh seseorang pembaca semasa membaca dalam usaha mendapatkan makna daripada teks yang dibaca. Teori membaca melibatkan idea atau pandangan dalam proses membaca yang digunakan oleh pembaca yang berbeza. Antara tujuan utama penggunaan teori adalah bagi memudahkan pembaca mendapatkan makna daripada teks yang dibaca. Usaha secara grafik menggambarkan cara memahami perkataan, memproses klausa dan memahami teks. Terdapat beberapa model penting yang berkaitan dengan membaca seperti:


TEORI MODEL BAWAH-KE-ATAS (BOTTOM-UP MODEL)

Brown (2001) menyatakan bahawa pada proses bottom up adalah membeca terlebih dahulu dan mengetahui berbagai tanda linguistik, seperti huruf, morfem, suku kata, kata-kata, frasa, petunjuk gramatis dan tanda wacana, kemudian menggunakan mekanisme pemprosesan yang masuk akal, keheren dan bermakna. Teori ini merujuk bahan bacaan dengan cara dari bawah ke atas. Untuk memahami bacaan teori ini, pembaca memerlukan ketrampilan yang berhubungan dengan lambang bahasa yang digunakan dalam teks.

Berikut adalah Prinsip Teori Membaca Bottom Up:




Berikut adalah visual Teori Bottom Up:




TEORI MODEL ATAS-KE-BAWAH (MODEL TOP DOWN)


Teori ini dimulakan dengan membaca dari awal hingga akhir bacaan tersebut, seperti membaca dari pengenalan, isi dan kesimpulan. Teori ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat secara menyeluruh daripada permulaan hingga akhir bacaan tersebut.

Berikut adalah Prinsip Teori Proses Membaca secara Top Down:




Berikut merupakan Model Teori Top Down:




TEORI INTERAKTIF


Teori ini merupakan kombinasi antara pemahaman model Top Down dan model Bottom Up. Pada teori interaktif ini, pembaca menggunakan pendekatan top down untuk mencari maknakemudian beralih ke pendekatan bottom up untuk menguji makna tersebut benar-benar dikatakan penulis. Menurut pandangan interaktif, membaca dimulakan dengan formulasi tenang hipotesis tentang makna, kemudian dilanjutkan dengan menghuraikan makna, huruf, kata dan kalimat dalam bacaan. Model interaktif ialah model membaca yang menggunakan secara serentak antara pengetahuan informasi grafik dan informasi yang ada dalam fikiran pembaca. Proses membaca secara interaktif juga merupakan mekanisme membaca yang menggunakan interaksi dalam pembacaan, berkomunikasi, menyampaikan dan menerima mesej bacaan di dalam bahan bacaan yang dibaca. Proses pembacaan ini lebih kepada mendapatkan maklumat daripada bahan rujukan yang sedang dibaca dengan menggunakan kawalan secara interaktif.

Berikut adalah Model Teori Interaktif:





TEORI KECEKAPAN VERBAL

Teori kecekapan verbal diperkenalkan oleh Perfetti (1985, 1988). Teori ini menekankan kepada kemahiran membaca dengan meluaskan proses pembacaan dengan mentafsir kod bacaan. Selain daripada membuat bacaan secara automatik untuk menguasai bahasa, aspek lain seperti penggunaan anafora dalam teks, membuat cadangan atau kenyataan secara bersepadu, aktiviti yang berkaitan dengan ingatan dan strategi meta kognitif yang digunakan. Menurut teori ini, pembaca akan mempunyai profil yang tersendiri bagi menguasai pembacaan secara verbal. Selain itu, ia turut memberi penjelasan berkaitan pemahaman terhadap bahan bacaan dan bagi pembaca yang tidak cekap akan lebih mudah lupa akan perkara yang sudah dibacanya. Mereka yang tidak cekap dalam pembacaan ini disebabkan oleh kekurangan pengetahuan terhadap teks yang dibaca dan keadaan ini sekaligus akan menyebabkan mereka sukar untuk memahami perkara yang dibaca.

TEORI MEMBACA AUTOMATIK



La Berger dan Samuel (1974) merupakan tokoh yang bertanggungjawab dalam memperkenalkan teori ini. Teori ini menganggap bahawa akan wujud perkembangan dalam penguasaan kemahiran membaca sekiranya pembacaan dilakukan secara automatik. Teori membaca ini berbeza di antara proses bersifat automatik dengan proses kawalan ketika membaca. Pembaca akan mudah untuk mengenal huruf dan seterusnya dapat menguasai setiap perkataan secara automatik melalui latihan membaca. Teori ini turut meramalkan akan wujud hubungan yang positif di antara kemahiran pemahaman membaca teks secara automatik dengan latihan yang telah dijalankan. Pembaca yang mempunyai lebih kemahiran membaca secara automatik akan berupaya dalam mengawal teks serta mempunyai lebih sumber dan lebih memahami teks yang dibaca. Ketika membuat pembacaan teks, pembaca perlu memberi penekanan terhadap pengawalan eksekutif supaya mereka dapat memahami teks dengan lebih berkesan.

TEORI MEMINDAHKAN MAKLUMAT



Teori memindahkan maklumat diperkenalkan berdasarkan pandangan yang telah dikemukakan oleh La Berge dan Samuel (1985) dan Gough (1985). Teori ini dipengaruhi oleh psikologi kognitif dan bertanggungjawab dalam menyatakan aktiviti membaca ini merupakan satu proses pemindahan maklumat daripada bahan bacaan kepada minda kita. Tokoh-tokoh ini memberi andaian bahawa aktiviti membaca adalah proses dalam mengenal huruf demi huruf dan perkataan demi perkataan. Pembaca akan berinteraksi dengan teks bagi mendapatkan makna daripada muka surat yang dibaca kepada pemikirannya. Dalam melakukan interaksi ini, pembaca memerlukan satu kemahiran yang khusus bagi membolehkan proses pemindahan maklumat kepada pemikirannya. Dalam teori ini, aktiviti membaca dilakukan bertujuan untuk membentuk peningkatan dalam kebolehan pembaca memindahkan maklumat daripada teks yang telah dibaca. Pembaca yang baik akan lebih efisien ketika membuat pemindahan maklumat tetapi bagi pembaca yang lemah pula tidak akan mampu untuk berbuat sedemikian.

Sunday, 16 March 2014

MEMBACA ITU INDAH



Ilmu merupakan sesuatu yang bermanfaat dan bukannya apa-apa yang hanya dihafal semata-mata.
Iman al-Syafie

Ilmu itu didapati dengan lidah yang gemar bertanya dan akal yang suka berfikir.
Abdullah Ibnu Abbas

Langkah pertama untuk mendapatkan pengetahuan adalah dengan
mengetahui bahawa kita tidak berpengetahuan.
Cecil B. DeMille

Kepuasan jiwa kerana mencari pengetahuan itulah kepuasan yang sejati.
Ibnu Rusyd

Pelajarilah ilmu. Pelajarilah ilmu itu untuk ketenteraman, ketetapan hati, dan
kelembutan jiwa. Tunduklah dengan merendahkan diri kepada guru anda.
Saidina Umar al-Khattab

Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah.
Surah al-Alaq, ayat 3




Friday, 7 March 2014

DEFINISI MEMBACA

Apakah itu membaca?

 Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010, "baca" didefinisikan sebagai melihat isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan cara meneliti dan memahami makna dan tujuan isi tersebut. Mahzan Arshad (2008:158) pula mendefinisikan membaca sebagai suatu proses yang dilakukan oleh para pembaca bagi membentuk atau memberikan makna terhadap teks yang dibacanya sebelum bertindak membuat sesuatu keputusan.



 Berikut merupakan beberapa definisi membaca mengikut pandangan para tokoh.

  • Safiah (1985), membaca adalah proses memahami dan membina pemahaman kerana jika tidak memahami apa yang dibaca bermakna kita tidak membaca.
  • Zulkifley Hamid (1994), menerangkan bahawa membaca merupakan suatu proses pembaca mengenal lambang-lambang tulisan, menterjemahkannya kepada bentuk bunyi yang dilambangkan dan mendapat makna bagi membentuk tulisan tersebut.
  • Robert Lado (1964), menyatakan bahawa membaca sebagai ungkapan pola-pola bahasa daripada bentuk tulisannya.
  • Anderson & Pearson (1984), mentakrifkan membaca sebagai suatu proses pembentukan dan pemberian makna menerusi interaksi antara pembaca dengan bahan yang dibaca ataupun proses membina  jambatan antara bahan yang dibaca dengan pengalaman latar si pembaca. Kedua-dua aktiviti ini iaitu membaca dan memberi makna adalah proses yang konstuktif dan saling membantu antara satu sama lain.


 Kemahiran membaca merupakan salah satu daripada empat kemahiran bahasa yang amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kemahiran bahasa ialah lanjutan daripada kemahiran-kemahiran asas seperti mendengar dan bertutur. Melalui pembacaan, seseorang itu dapat mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan yang ada di dunia. Membaca juga sebenarnya merupakan kunci utama yang dapat membantu kita untuk meluaskan ilmu, pemikiran dan idea serta meningkatkan daya kreatif seseorang individu tersebut dalam pelbagai bidang.

Proses Membaca

 Membaca juga melibatkan proses mekanikal. Hal ini demikian kerana, semasa membaca kita akan dapat membunyikan huruf-huruf yang dicetak dan menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengan tajuk yang dibaca. Apabila ada hubung kait antara membaca dan menjawab soalan, secara automatiknya dapat dikatakan bahawa membaca melibatkan proses pemikiran konstruktif. Membaca merupakan salah satu sumber pengetahuan dan asas pembentukan diri ke arah pemerolehan ilmu pengetahuan.


 Pemahaman makna yang diperolehi oleh pembaca dalam proses membaca adalah berlangsung daripada pengetahuan latar. Pengetahuan latar yang dimiliki oleh pembaca akan digerakkan oleh perkataan, ayat dan paragraf penulis dalam bahan yang dibacanya. Walaupun pembaca tidak perlu memahami setiap perkataan yang terkandung pada setiap ayat yang dibaca, tetapi pembaca perlu bijak menggunakan petanda yang terdapat dalam bahan bacaan tersebut sebagai panduan bagi memahami maksud keseluruhan bahan yang dibaca. Proses ini disebut sebagai proses menaakulkan atau meneka maksud berdasarkan petanda yang terdapat dalam bahan yang dibaca. Menaakul bermaksud membuat tekaan berasaskan sesuatu petanda yang dijadikan sebagai panduan dalam proses meneka tersebut.

 Seterusnya ialah proses interaksi atau peredaran maklumat antara pembaca dengan teks adalah asas bagi memahami bahan bacaan. Dalam proses memahami, pembaca akan menghubungkan antara maklumat yang baharu dimuatkan oleh penulis dalam teks dengan maklumat lama yang terkandung dalam mindanya dan inilah dikatakan sebagai "membina jambatan" antara maklumat baharu dengan maklumat lama.



 Menurut Rumelhart (1980), maklumat yang terkandung dalam minda seseorang dikenali sebagai skema atau pengetahuan latar. Setiap individu mempunyai skema yang tersendiri mengenai sesuatu objek atau konsep. Menurut Anderson, Hiebert, Scott dan Wilkinson (1985), membaca juga dilihat sebagai satu proses memilih dan mengambil tindakan apabila pembaca menyesuaikan proses membaca dengan tujuan dan jenis teks yang dibacanya.

 Proses menentukan apakah tujuan dan tindakan yang akan diambil ini berlaku secara serentak dengan proses membina makna daripada bahan yang dibaca. Hal yang demikian kerana, aspek ini juga membawa maksud dalam mengatur strategi memahami pembaca akan mengawal pemikirannya atau melakukan metakognitif ketika membaca. Pengawalan pemikiran ini amat penting bagi memberikan manfaat yang sepenuhnya ketika membaca. Kawalan pemikiran yang baik akan menambahkan makna yang diperolehi daripada teks sekali gus menambahkan lagi skema dalam pemikiran pembaca.


 Secara konklusinya, membaca merupakan satu proses memahami makna isi teks yang dibaca oleh para pembbaca dan kemudian mencampurkan segala pengetahuan sedia ada dengan pengetahuan yang baru diperolehinya. Jika seseorang tidak faham apa yang dibacanya bermakna dia tidak membaca. Hal ini demikian kerana, tiada maklumat baharu yang diperolehinya.